RINGKASAN

 

(i) Baca petikan di bawah dengan teliti dan tulis ringkasan tentang langkah- angkah menggalakkan pelajar menyertai aktiviti kokurikulum. Panjang ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan ayat sendiri tanpa mengubah maklsud asal petikan. [20 markah]

 

        Bidang kokurikulum di sekolah diharapkan dapat melahirkan para atlet yang cemerlang, para pemimpin, penggiat seni, dan tokoh budaya yang berketerampilan, pereka cipta yang kreatif dan inovatif, dan usahawan yang berjaya. Malangnya, sejak beberapa tahun belakangan ini, pelaksanaan aktiviti kokurikulum di sekolah semakin kurang memberangsangkan. Kebanyakan kegiatan yang dijalankan bagai melepaskan batuk di tangga, sekadar memenuhi keperluan pentadbiran seperti yang diprogramkan dalam takwim sekolah. Dalam pada itu, penglibatan dan penyertaan para pentadbir, guru dan para pelajar dalam pelaksanaan kokurikulum di sekolah umumnya hanyalah pada tahap minimum.

 

        Namun demikian, terdapat beberapa buah sekolah yang menjalankan inisiatif mewujudkan rangkaian kerjasama dengan agensi-agensi tempatan, syarikat-syarikat swasta, dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan, yang banyak memanfaatkan sekolah-sekolah berkenaan. Apabila sesuatu kejohanan sukan contohnya, dijalankan dengan suasana yang meriah, sudah pasti akan mendorong pelajar menyertai kejohanan yang dianjurkan. Di samping itu, persepsi negatif semua pihak terhadap bidang kokurikulum perlu diubah. Strategi ini penting dilaksanakan secara meluas dan berterusan dengan objektif untuk memberikan kesedaran dan keyakinan tentang pentingnya aktiviti kokurikulum dari aspek pembangunan kemanusiaan yang menyeluruh.

 

        Bidang kokurikulum juga wajar dijadikan sebagai satu kelayakan tambahan untuk melanjutkan pelajaran ke universiti. Selain itu, kelab atau persatuan hendaklah membanyakkan aktiviti. Yang paling penting, pelajar diberi kebebasan menyertai persatuan atau kelab yang diminati, tetapi jumlah keahliannya perlu dikawal. Aktiviti yang dijalankan pula hendaklah memikat hati golongan pelajar, bukan sekadar memenuhi syarat yang ditetapkan oleh pengurusan sekolah. Strategi ini penting untuk memberikan peluang yang seluas-luasnya kepada para pelajar menceburkan diri dalam aktiviti yang diminati di samping menguji bakat kepimpinan masing-masing.

 

        Kebiasaannya, setiap aktiviti kokurikulum yang dijalankan memerlukan kos yang tinggi. Guru penasihat seharusnya pandai mencari penaja aktiviti agar para pelajar dikenakan kos pada tahap minimum. Untuk melaksanakan strategi meningkatkan prestasi pelaksanaan kokurikulum, maka bilangan guru yang mempunyai kemahiran, komited dan cekap perlu ditambah.

 

 

 

 

(ii) Berdasarkan petikan di atas, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

 

1         Apakah maksud rangkai kata bagai melepaskan batuk di tangga ? [2 markah]

 

 

2         Nyatakan dua sebab yang menyumbang kepada kemalapan aktiviti kokurikulum di sekolah. [4 markah]

 

 

3         Apakah faedah-faedah yang anda peroleh daripada penglibatan dalam aktiviti kokurikulum ?  [4 markah]